Suliati Asri

KECEMERLANGAN pendidikan tinggi diukur pada kejayaan melahirkan bakat-bakat muda yang berjaya.

Universiti sebagai gudang ilmu perlu siap siaga membekalkan mahasiswa dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan pasaran pekerjaan.

Justeru, menerusi Belanjawan 2024 Malaysia Madani kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 16.3 bilion bagi Kementerian Pendidikan Tinggi.

Selain itu, bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500.

Pada masa yang sama, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.

Langkah kerajaan mengehadkan yuran pendaftaran masuk ke universiti awam tidak melebihi RM1,500 akan memberi peluang lebih luas kepada pelajar yang tidak berkemampuan untuk memulakan pengajian.  

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah menyambut baik hasrat kerajaan menangguhkan bayaran yuran pengajian golongan ini dan tidak menyekat mereka yang belum mampu membayar yuran bagi meneruskan pengajian atau mengambil peperiksaan.  

Katanya, semoga dengan langkah ini, pelajar-pelajar susah yang tidak berhasrat menyambung pengajian kerana ingin menyara keluarga dan mereka yang susah dari pedalaman akan mendapat semangat baru.  

"UPM tidak mempunyai masalah menyambut hasrat kerajaan untuk memperkasakan kebajikan pelajar universiti kerana Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM sudah melaksanakan langkah kebajikan terbabit untuk pelajar kurang berkemampuan selama ini.  

"UPM melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar juga turut memberi pelbagai bantuan kepada golongan pelajar susah, asnaf, dan B40 yang layak melalui Tabung Kebajikan Pelajar Wakaf, Zakat, dan Endowmen untuk meringankan beban mereka," katanya.  

Dr Ahmad Farhan berkata, UPM turut aktif mengumpul dan menyalurkan sumbangan serta derma daripada pihak luar atau penaja kepada golongan B40 yang layak.  

"UPM juga terbabit dengan bantuan Program Dermasiswa Sulong yang disarankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membiayai pendidikan generasi pertama dalam keluarga B40 yang melanjutkan pengajian ke universiti.  

"Kita setuju peraturan pembayaran oleh universiti harus mengambil kira kebajikan pelajar seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat," katanya.  

Mengulas mengenai bajet RM1 juta kerajaan kepada setiap universiti awam untuk Program Pemulihan Dalam Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), Dr Ahmad Farhan berkata, langkah ini juga akan meningkatkan jumlah pelajar OKU masuk ke universiti.  

"UPM sudah menyediakan kerangka kukuh dalam menyokong komuniti OKU seperti Garis Panduan Pelaksanaan Kampus Inklusif OKU, Dasar Inklusif OKU 2020, Jawatankuasa Kampus Inklusif OKU, Audit MyU OKU, Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU, buddies yang sentiasa mengambil berat pelajar OKU, elaun khas OKU, masa tambahan bagi pembelajaran, menyokong erat Persatuan Mahasiswa OKU untuk pemerkasaan mahasiswa OKU.  

"Selain itu UPM sentiasa menaik taraf kemudahan OKU di fasiliti utama universiti, van OKU, mesin embosser di perpustakaan, bangunan mesra OKU dan bilik OKU," katanya.

KEBAJIKAN mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan universiti awam.
KEBAJIKAN mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan universiti awam.

Pada masa sama, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman turut menyokong inisiatif baik kerajaan yang diumumkan baru-baru ini.  

Katanya, UKM akan sentiasa menyediakan bantuan kewangan kepada mahasiswa UKM yang memerlukan.   

"Antara bantuan kewangan pendidikan yang disediakan UKM bagi mahasiswa adalah bantuan khas kemasukan ke universiti.  

"Selain itu, UKM juga memberi bantuan umum pelajaran yuran dan sara diri bagi golongan asnaf yang memerlukan menerusi Pusat Zakat UKM. 

"Bantuan pengajian juga turut disediakan oleh Unit Kebajikan Hal Ehwal Pelajar UKM serta bantuan Derma Siswa Naib Canselor bagi pelajar laluan komersil menerusi UKM Shape," katanya. 

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff prihatin dengan keperluan golongan B40 dan miskin tegar yang menghadapi kesukaran mendaftar di UPSI.

Katanya, UPSI menyambut baik dan menyokong hasrat kerajaan supaya golongan ini diberi keutamaan untuk menggapai cita-cita di peringkat pendidikan tinggi.

"Sebahagian golongan ini turut mendapat perhatian KPT dan universiti awam termasuk UPSI melalui inisiatif Program Siswa Sulung 2.0 bermula Sesi Oktober 2023.

"Melalui pembentangan belanjawan 2024, penetapan yuran pendaftaran universiti dihadkan untuk tidak melebihi RM 1,500 adalah bertepatan dengan situasi semasa.

"Semua pelajar yang kurang berkemampuan akan diberi peluang untuk meneruskan pengajian dan pendaftaran mereka tidak akan disekat," katanya.

Manakala Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) hendaklah berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa serta bakal pelajar yang mempunyai masalah untuk membayar yuran pendaftaran.

Katanya, BHEP UPSI menyediakan pelbagai bantuan seperti Bantuan Tabung Kebajikan Pelajar (BTKP), Pinjaman Wang Segera (PWS), Food Bank di enam lokasi dalam kampus, Sumbangan Kupon Skuad Penyayang, Mursyiddin Kitchen setiap bulan dan Menu Rahmah di dua puluh enam 26 kafeteria dalam kampus."

"Selain itu, Pusat Wakaf, Endownmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI turut menyediakan bantuan zakat dan sedekah kepada mereka yang layak. Pihak kami juga sudah mengenalpasti kumpulan sasaran B40 dan miskin tegar.

"Hari ini (semalam)

kami menyambut 3,580 pelajar yang akan mendaftar di UPSI dan 90 pelajar baharu menerima bantuan kewangan berjumlah RM 27,000 atau RM 300 bagi setiap keluarga berpendapatan isi rumah kurang daripada RM 1,500," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 7:00 AM