Motosikal mangsa terperosok di bawah lori dalam kemalangan yang berlaku di Lorong Bakti 1A, kawasan perumahan Sukma di sini kira-kira jam 1.40 petang hari ini. FOTO MELVIN JONI
Motosikal mangsa terperosok di bawah lori dalam kemalangan yang berlaku di Lorong Bakti 1A, kawasan perumahan Sukma di sini kira-kira jam 1.40 petang hari ini. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Kuching: Seorang penuntut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Kuching maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh lori yang tiba-tiba keluar daripada simpang di Lorong Bakti 1A, kawasan perumahan Sukma di sini, jam 1.40 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa, 22, dari Rumah Kahei Long Mekeno disahkan maut di lokasi akibat parah di kepala.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa pemandu lori keluar daripada simpang Lorong Bakti 1A6 untuk membelok ke kiri jalan lalu.

"Mangsa yang menunggang berseorangan dari arah Peryatim Sarawak gagal mengelak sebelum merempuh lori terbabit," katanya.

Pemandu lori berusia 40 tahun dari Rumah Intang Nanga Mengiling, Lubok Antu pula selamat sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

Mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 8:26 PM