Keadaan motosikal dan mangsa selepas terbabit kemalangan di Kilometer 6 Jalan Kuching-Serian dekat Serian petang hari ini. Foto Norsyazwani Nasri
Keadaan motosikal dan mangsa selepas terbabit kemalangan di Kilometer 6 Jalan Kuching-Serian dekat Serian petang hari ini. Foto Norsyazwani Nasri
Melvin Joni

ANGGOTA bomba maut dalam kemalangan di Kilometer 6 Jalan Kuching-Serian dekat Serian petang hari ini, apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah kereta.

Dalam kemalangan yang dilaporkan sekitar 6.30 petang itu, Nickson Empary Gawan, 33, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berpunca daripada tindakan sebuah kereta menukar lorong.

"Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Serian menuju ke Kuching.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta terbabit menukar lorong dari sebelah kanan ke kiri di simpang Loo Foo.

"Kira-kira 100 meter selepas menukar lorong, kereta berkenaan dilanggar dari belakang oleh mangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Alexson berkata, mayatnya telah dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut manakala pemandu kereta terbabit, seorang lelaki berusia 50 tahun yang merupakan seorang pembantu perubatan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 11:44 PM