FOTO ihsan Polis
FOTO ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuching: Dua lelaki maut selepas van yang dinaiki merempuh sebuah lori di Batu 12 Jalan Kuching-Serian berdekatan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan, di sini, malam semalam.

Kemalangan kira-kira jam 7 malam itu menyebabkan pemandu van Allan Chung Loong Fuat, 41, maut di lokasi kejadian manakala penumpangnya Anslem Adriano Wilson, 16, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak dua jam kemudian.

Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Asisten Superintendan Mathew Manggi berkata, siasatan awal mendapati van yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh lori.

Menurutnya, kejadian itu juga menyebabkan sebuah motosikal yang berada di belakang lori gagal mengelak dan merempuh kenderaan itu.

"Kejadian itu menyebabkan pemandu lori dan penunggang motosikal masing-masing berusia 40 dan 21 tahun parah. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 11:37 AM