TERA maut dilokasi kejadian selepas dirempuh Toyota Hilux. FOTO Ihsan Pembaca.
TERA maut dilokasi kejadian selepas dirempuh Toyota Hilux. FOTO Ihsan Pembaca.
Erika George


WANITA warga emas maut selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di Jalan Sepupok Niah, Miri, malam tadi.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa, Tera Kusing, 68, maut di tempat kejadian.

"Ia disahkan anggota kesihatan dari Klinik Kesihatan Batu Niah yang berada di lokasi kejadian.

"Mangsa parah di kepala dan badan, dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat," katanya hari ini.

Beliau berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda, jenis Toyota Hilux lelaki tempatan berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Alexson berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, pemandu Toyota Hilux dari arah Pekan Niah menghala ke Simpang Sepupok sebelum terlanggar mangsa yang berada di tengah-tengah jalan.

"Pemandu tidak sempat membrek kenderaannya dan merempuh wanita warga emas berkenaan," katanya.

Difahamkan, sejurus kemalangan, lelaki terbabit terus memandu ke Balai Polis Batu Niah untuk memaklumkan mengenai insiden terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan siasatan masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 10:35 AM