KEADAAN kemalangan jalan raya membabitkan motosikal yang merempuh belakang lori Kargo di Batu 21, Jalan Kuching - Serian. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kemalangan jalan raya membabitkan motosikal yang merempuh belakang lori Kargo di Batu 21, Jalan Kuching - Serian. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


DUA beradik maut selepas motosikal yang mereka naiki merempuh belakang lori di Batu 21, Jalan Kuching - Serian, pagi tadi.

Dalam kejadian 6.15 pagi itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian itu berlaku ketika lori yang dipandu lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari arah Serian menghala ke Kuching.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki dua beradik itu datang dari arah belakang lalu merempuh lori berkenaan.

"Penunggang motosikal itu, Chile Brownson Jika, 21 dan abangnya yang membonceng motosikal itu, Beraina Jika, 26, parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mereka dihantar ke Hospital Umum Sarawak dan dijangka dibedah siasat pada 2 petang ini," katanya.

Alexson berkata, pemandu lori dan kelindannya yang berusia 23 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Bagaimanapun, pemandu lori itu ditahan di Balai Polis Siburan bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 11:13 AM