PENGUAT kuasa DBKL merobohkan struktur haram di laluan pejalan kaki di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, semalam. FOTO ihsan DBKL
PENGUAT kuasa DBKL merobohkan struktur haram di laluan pejalan kaki di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, semalam. FOTO ihsan DBKL
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan struktur haram di laluan pejalan kaki di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, di sini, semalam.

Pemilik premis berkenaan yang mengakui kesalahan dilakukan itu turut membantu penguat kuasa DBKL merobohkan struktur dibina itu.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata, tindakan perobohan dilakukan selepas tamat notis teguran diberikan.

"Pemilik akur dengan tindakan itu dan turut membantu untuk membuka struktur didirikan.

"Kerjasama baik antara penguat kuasa dan pemilik memudahkan tindakan perobohan dilakukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Osman berkata, peniaga dinasihatkan untuk mematuhi syarat lesen disediakan dan tidak membina sebarang struktur tambahan di laluan awam.

Beliau berkata, syarat lesen perniagaan sudah ditetapkan dan semua pemilik lesen perlu mematuhi syarat ditetapkan.

Katanya, kerjasama daripada pemilik lesen amat dihargai dan orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan boleh menyalurkan di http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 3:07 PM