ANTARA penjaga parkir haram yang ditahan. FOTO Ihsan DBKL.
ANTARA penjaga parkir haram yang ditahan. FOTO Ihsan DBKL.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Empat penjaga parkir haram ditahan dalam Operasi Tindakan Terhadap Penjaga Parkir Tanpa Kebenaran di sekitar Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Chan Sow Lin, di sini, semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, mereka terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan seorang warga Bangladesh.

Katanya, mereka ditahan Pasukan Tindakan Khas Jabatan Penguatkuasaan DBKL dalam operasi bermula jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam tadi.

"Mereka dibawa ke Jabatan Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut dan proses dokumentasi.

"Tindakan diambil mengikut Seksyen 50(3), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya hari ini.

DBKL berkata, risikan dan pemerhatian itu dilakukan di lokasi tumpuan terutama kawasan yang sering kali menerima aduan berkaitan terdapatnya individu yang menjalankan aktiviti menjaga dan mengutip wang parkir tanpa kebenaran di kawasan awam.

Katanya, ia membabitkan bahu jalan, siar kaki, kawasan lapang atau petak letak kereta awam sedia ada pada waktu siang atau malam.

Dalam pada itu, DBKL berkata, sebanyak 38 individu ditahan di sekitar kawasan tumpuan di pusat bandar sepanjang tahun lalu.

Katanya, bagi Januari hingga Mei tahun ini pula, seramai 46 individu ditahan membabitkan tujuh kes pendakwaan di mahkamah dan 39 kes tindakan Surat Aku Janji.

"Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan," katanya.

Orang awam yang ingin membuat aduan boleh melayari laman sesawang http://adukl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 7:57 PM