AKTIVITI mengumpul al-Quran rosak. FOTO Mohd Rafi Mamat
AKTIVITI mengumpul al-Quran rosak. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Temerloh: Persatuan Sukarelawan Kebajikan Daerah Temerloh (PSKD Temerloh) mengumpul lebih satu tan al-Quran pelbagai saiz yang rosak selepas ditenggelami banjir di daerah ini.

Operasi berkenaan dilakukan di Taman Mentakab Indah dan Tanjung Kerayong, di sini membabitkan kira-kira 30 kediaman penduduk yang ditenggelami banjir lebih seminggu.

Setiausaha PSKD Temerloh, Zarina Moidin, 49, berkata, aktiviti sukarela itu dilakukan pihaknya setiap kali banjir di daerah ini.

Menurutnya, al-Quran yang rosak diambil dari rumah ke rumah.

Katanya, ada juga dalam kalangan penduduk yang menyerahkan al-Quran kepada pihaknya untuk dilupuskan.

"Dalam tempoh tiga hari operasi, kita berjaya mengumpul lebih satu tan al-Quran yang basah serta berlumpur terutama selepas terendam banjir dalam jangka masa lama.

"Semua al-Quran yang dikumpul kemudian diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk tujuan dilupuskan mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan serta mengikut hukum syarak," katanya, dihubungi di sini, semalam.

Tinjauan di beberapa daerah di negeri ini mendapati al-Quran rosak apabila masjid dan surau ditenggelami banjir,

Usaha mengumpul al-Quran yang rosak kini turut dilakukan kakitangan JAIP di beberapa daerah negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 9:06 AM