Guru agama (berkopiah) dijatuhi hukuman penjara enam tahun. FOTO ROSLI ILHAM
Guru agama (berkopiah) dijatuhi hukuman penjara enam tahun. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Chukai : Seorang guru agama dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kemaman atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Khairul Izzul Anang, 33, dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mahkamah dalam keputusannya memutuskan tertuduh bersalah selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani sesi kaunseling dalam tempoh tahanan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual antara 2.30 petang hingga 5 petang di sebuah kampung di sini pada 2 Februari 2018.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mohd Khairul yang hadir dengan ditemani isterinya kelihatan mengalirkan air mata sebaik hukuman dijatuhkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam bela, Akmal Wahidah Abd Halim untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga proses rayuan selesai didengar di Mahkamah Tinggi dengan bayaran ikat jamin sebanyak RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 7:43 PM