ROSLAN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang budak lelaki. FOTO Faizul Azlan Razak
ROSLAN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang budak lelaki. FOTO Faizul Azlan Razak
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang budak lelaki.

Tertuduh, Roslan Mohamad, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun satu bulan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik asrama di daerah Marang, jam 5 pagi, 28 Julai lalu.

Susulan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 2:12 PM