GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya.

Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh berusia 42 tahun didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 11 tahun dua bulan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan pantai dalam daerah Marang kira-kira 11 pagi pada September 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bermula hari ini.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 AKSTKK2017 sebaik tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Ismail Nik Lah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 2:51 PM