MOHD Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan berusia sembilan tahun. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan berusia sembilan tahun. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas pembantu muzik di sebuah sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan berusia sembilan tahun.

Tertuduh, Mohd Anuar Wahab, 40, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga tiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang ketika kejadian berusia sembilan tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah sekolah dan di tepi jalan di daerah Kuala Nerus antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang pada 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 2:38 PM