Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang pemotong rumput dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan lima sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol dan meliwat dua beradik yang juga adik angkatnya.

Tertuduh berusia 26 tahun mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol budak perempuan berusia 10 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus pada 12 tengah malam 31 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun penjara dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap adik lelaki mangsa yang berusia lapan tahun dengan meliwatnya di alamat sama di Kuala Nerus pada 2 petang 16 September lalu.

Dia yang didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan merogol manakala tiga tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan meliwat.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 26 Oktober lalu.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama satu tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebaik tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 5:38 PM