KEADAAN banjir di sekitar di Pekan Donggongon, Penampang. FOTO Malai Rosmah Tuah
KEADAAN banjir di sekitar di Pekan Donggongon, Penampang. FOTO Malai Rosmah Tuah
Rafiqah Dahali


JUMLAH mangsa banjir di beberapa daerah terjejas di Sabah meningkat mendadak dan 15 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah merangkap Sekretariat Pengurusan Bencana Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, jumlah mangsa terjejas banjir sehingga kini direkodkan seramai 1210 orang.

Menurutnya, 15 PPS dibuka di Kota Belud, Papar, Penampang, Tenom dan Beaufort.

"Di Kota Belud secara keseluruhan terdapat 323 mangsa dari 32 kampung ditempatkan di empat PPS iaitu Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan Muhibbah Kampung Tombol, Dewan SRJK Chung Hwa dan Dewan SK Pekan Kota Belud.

"Penampang pula keseluruhannya terdapat 19 mangsa dari 12 kampung yang ditempatkan di dua PPS iaitu di Pusat Kebudayaan Penampang manakala di Papar pula mencatatkan 62 mangsa dari 19 kampung yang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Papar.

"Di Tenom, seramai 634 mangsa dari 13 kampung ditempatkan di lapan PPS iaitu Rumah Kebudayaan Ponontomon, Rumah Kebudayaan Kampung Labut 2, Rumah Kebudayaan Kampung Angalor, Mini Dewan Jinuin Mandalom , Dewan Seri Panglima Antanom, Rumah Kebudayaan Pantongan Saga, Rumah Kebudayaan Batu-Batu dan Rumah Kebudayaan Mandalom Lama," katanya.

Katanya, di Beaufort pula seramai 49 mangsa dari 24 kampung kini ditempatkan di PPS Dewan DSP Hj Dun Banir," katanya.

Selain itu, Kamal berkata, enam daerah lain seperti Membakut sebanyak 19 kampung, Tuaran (17), Putatan (3), Keningau (2), Pitas (4) dan Kota Marudu (7) turut terjejas akibat banjir.

Katanya, PPS di enam daerah itu tidak dibuka setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 1:20 PM