Antara PPS yang menempatkan mangsa banjir dibuka di Kota Belud. Foto Ihsan APM
Antara PPS yang menempatkan mangsa banjir dibuka di Kota Belud. Foto Ihsan APM
Rafiqah Dahali
am@hmetro.com.my

JUMLAH mangsa banjir di beberapa daerah di Sabah meningkat dan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka turut bertambah sehingga 8 malam ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah yang juga Sekretariat Pengurusan Bencana Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, bilangan mangsa banjir meningkat sebanyak 785 orang.

Menurutnya, bilangan PPS yang dibuka juga bertambah sembilan buah PPS membabitkan daerah Kota Belud, Papar, Penampang dan Tenom.

"Di Kota Belud secara keseluruhan terdapat 279 mangsa dari 32 kampung ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Masyarakat Tun Said dan Dewan Muhibbah Kampung Tombol.

"Di Penampang pula keseluruhannya terdapat 38 orang mangsa dari 12 buah kampung ditempatkan di tiga buah PPS iaitu Pusat Kebudayaan Penampang, Dewan Ramayah dan Dewan Limbanak.

"Sementara itu, Papar pula mencatatkan 72 orang mangsa dari 12 buah kampung yang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Papar.

"Di Tenom, seramai 396 orang mangsa dari lima buah kampung ditempatkan di tiga buah PPS iaitu Ponontomo Saga, Dewan Terbuka Labut 2 dan Dewan Angalor," katanya.

Kamal berkata, sebanyak enam daerah juga turut terjejas kerana banjir iaitu Beaufort (Membakut) sebanyak 11 kampung, Tuaran (16); Putatan (3); Keningau (2); Pitas (7) dan Kota Marudu (4).

Bagaimanapun, enam daerah terbabit tidak ada PPS dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 10:00 PM