GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Penduduk terjejas banjir di Sabah di tiga daerah kekal 352 orang daripada 99 keluarga setakat 8 pagi hari ini.

Bagaimanapun, situasi banjir di negeri berkenaan dijangkakan terus pulih dengan jumlah penduduk terjejas yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan berbanding minggu lalu.

Daerah yang masih mencatatkan mangsa banjir ialah Beaufort, Kota Belud dan Tenom.

Jurucakap Angkatan pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, setakat ini masih terdapat lima PPS yang dibuka.

"Beaufort kekal menjadi daerah paling ramai mencatatkan jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS.

"Seramai 249 mangsa melibatkan 77 keluarga berada di dua PPS iaitu PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir dan PPS Dewan Pa' Musa.

"Selain itu, terdapat 77 mangsa banjir daripada 17 keluarga juga masih berada di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Suang Punggor serta PPS Dewan Kampung Song-Song bagi daerah Kota Belud.

"Manakala daerah Tenom mencatatkan seramai 26 mangsa daripada lima keluarga," katanya.

Menurut jurucakap APM Sabah semua mangsa membabitkan penduduk dari 70 kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 10:37 AM