KEMALANGAN yang meragut nyawa Wan Salwiah (gambar kanan). FOTO Ihsan JBPM
KEMALANGAN yang meragut nyawa Wan Salwiah (gambar kanan). FOTO Ihsan JBPM
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: "Pada mulanya saya menerima panggilan memberitahu ayah rebah di kedai makan, namun tidak menyangka panggilan kedua yang diterima memaklumkan ibu pula terbabit dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya," kata Amir Zaim Mohd Zin, 22.

Amir Zaim adalah anak sulung kepada Wan Salwiah Wan Mahmood, 47, yang menemui ajal dalam kemalangan di Kilometer 30.2 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berdekatan Kampung Pangkal Gong, di sini, kira-kira 6.30 petang semalam.

Amir Zaim berkata, ibunya terbabit dalam kemalangan bersama adiknya, Amirah Zahirah, 21, ketika mereka dalam perjalanan mengambil barang katering di Ketereh.

"Sebaik menerima panggilan itu, saya yang ketika itu berada di tempat kerja di Kuala Krai bergegas ke lokasi kemalangan bersama ayah (Mohd Zin Ab Latiff) dan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaan kami apabila kehilangan orang tersayang dalam sekelip mata.

"Beberapa hari sebelum kemalangan, arwah ibu selalu berpesan kepada saya supaya menjaga ayah dan adik dengan baik, namun tidak sangka pesanan itu petanda dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Jenereh Bongkok, Pulai Chondong, di sini, hari ini.

Katanya, mereka reda dengan ketentuan Ilahi dan berdoa agar roh arwah ibunya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bilal Talib, Jenereh Bongkok selepas solat Subuh, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama anak perempuannya yang memandu Perodua Alza dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Ketereh.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, kenderaan itu hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan di bahagian kiri jalan.

"Besi penghadang jalan sepanjang lima meter itu tertusuk ke bahagian penumpang hadapan Perodua Alza sehingga menyebabkan mangsa parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya hanya cedera ringan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 6:05 PM