Mangsa maut di tempat kejadian. FOTO ihsan polis
Mangsa maut di tempat kejadian. FOTO ihsan polis
Rosliza Mohamed


SEORANG jurukimpal maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kampung Buluh Poh, Ketereh, Kota Bharu, awal pagi tadi.

Kejadian 3.30 pagi itu menyebabkan Mohd Haffiz Mohd Hajizi, 34, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguat Kuasa Trafik Daerah Kota Bharu Asisten Superintendan Hamizon Che Harun berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang Yamaha LC dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ketereh.

"Ketika tiba di lokasi, sebuah Perodua Alza dipandu wanita 31 tahun dari arah Melor dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan mangsa.

"Disebabkan jarak yang dekat, kedua-dua kenderaan gagal mengelak dan motosikal mangsa dirempuh. Mangsa tercampak ke kanan jalan.

"Dia mengalami kecederaan serius di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 3:34 PM