SALIHEN (kanan) dan Hasnah. FOTO Ihsan Keluarga
SALIHEN (kanan) dan Hasnah. FOTO Ihsan Keluarga
Izlaily Nurul Ain Hussein


“SAYA rasa pelik juga apabila melihat mak dan makcik tidur bersama atas katil pagi tadi, mungkin itu tanda mereka akan pergi bersama-sama buat selama-lamanya," kata Amir Rashid Salihen, anak ke-10 kepada pasangan Salihen Othman dan Hasnah Jalani.

Salihen, 66; isterinya, Hasnah, 82, serta adik kepada Hasnah, Zarah Jalani, 72, maut dalam kemalangan yang membabitkan Perodua Viva dinaiki mereka dengan sebuah lori pasir di Kilometer 5, Jalan Sungai Sayong-Bandar Tenggara di Kota Tinggi, pagi tadi.

Pemandu kereta itu, Yatim Mustafa Salihen, 18, yang juga anak bongsu Salihen, parah apabila patah kaki dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai.

Amir Rashid, 53, berkata, kira-kira jam 6.30 pagi, dia yang tinggal berdekatan rumah ibu bapanya di Taman Sinaran, Kempas, Johor Bahru, seperti biasa singgah di rumah pasangan itu sebelum pergi ke tempat kerja.

“Semasa saya singgah di rumah mak, saya lihat mak dan makcik tidur bersama. Selalunya mak tidur dengan ayah. Ayah pula ketika itu berada di ruang tamu dan seperti biasa berpesan supaya saya berhati-hati dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada polis kira-kira jam 10 pagi yang memaklumkan tentang kemalangan menimpa mereka," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Kota Tinggi di Kota Tinggi, hari ini.

Hadir melawat keluarga mangsa di hospital, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Rashidah Ismail dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Johor Bahru, Faridah Mustafa.

Amir Rashid berkata, ibu dan ibu saudaranya itu hanya dua beradik dan tidak mempunyai adik beradik lain.

Katanya, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke Felda Sungai Sibol dekat Kulai, untuk menziarah kakak sulungnya yang menghidap angin ahmar.

“Mak dan ayah nak pergi melawat kakak sulung saya. Makcik datang dari Yong Peng nak turut serta ziarah kakak saya. Mereka sepatutnya pergi pada Sabtu ini dengan saya kerana saya bercuti.

“Tetapi, mereka mahu juga pergi hari ini, sebab itu saya minta adik bongsu saya bawa Perodua Viva saya pergi bawa mereka ke rumah kakak," katanya.

Jenazah suami isteri itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif, Johor Bahru, manakala jenazah Hasnah akan dibawa pulang ke Yong Peng, Batu Pahat, untuk disemadikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dari arah bertentangan masuk ke laluan sebelah.

“Akibat tidak sempat membrek, lori pasir merempuh kereta terbabit," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 38 tahun tidak cedera, manakala pemandu kereta, parah.

"Penumpang depan serta dua penumpang belakang kereta meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Berita berkaitan

Tiga sekeluarga maut

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 4:48 PM