Nur Quraini kini menjaga suaminya yang terlantar dan menggalas tugas sebagai ketua keluarga bagi empat anak yang masih kecil termasuk berusia lima bulan ketika ditemui ketika menerima sumbangan PERKASIH N9 dirumahnya di Kampung Minching, Rembau. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Nur Quraini kini menjaga suaminya yang terlantar dan menggalas tugas sebagai ketua keluarga bagi empat anak yang masih kecil termasuk berusia lima bulan ketika ditemui ketika menerima sumbangan PERKASIH N9 dirumahnya di Kampung Minching, Rembau. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Rembau: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Itu perumpamaan sesuai bagi menggambarkan nasib enam beranak selepas ketua keluarga, Azad Mohd, 37, kini terlantar sakit dan tidak lagi boleh mencari rezeki selepas lumpuh separuh badan akibat pendarahan dalam kepala sejak 1 Disember lalu.

Azad sebelum ini menanggung keluarganya dengan menjual nasi lemak di hadapan Masjid Pedas, di sini, sejak Jun lalu selepas kehilangan pekerjaan sebagai tukang masak di sebuah restoran susulan pandemik Covid-19.

Isterinya, Nur Quraini Mohd Sabri, 30, berkata, sebelum Azad jatuh sakit, mereka dapat menyediakan hampir 600 bungkus nasi lemak yang dijual dengan harga RM1 bagi menampung perbelanjaan.

"Tanpa suami, saya hanya boleh menghasilkan kira-kira 400 bungkus sahaja dan terpaksa menjualnya sendiri. Ketika suami dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah, saya teruskan berniaga untuk mencari rezeki.

"Namun, suami kini sudah pulang ke rumah dan memerlukan penjagaan rapi. Jadi, saya tidak dapat lagi berniaga dan punca pendapatan juga terjejas," katanya.

Mengulas mengenai keadaan suaminya itu, Nur Quraini berkata, Azad kini memakai lampin pakai buang selain perlu diberikan susu khas setiap tiga jam.

"Saya bimbang tidak mampu tampung kos susu dan lampin pakai buang yang dipakai suami yang dianggarkan berjumlah RM1,500 setiap bulan.

"Jika ikut nasihat doktor, suami saya perlu minum satu hari satu tin susu khas bersaiz kecil bagi keperluan kesihatannya namun saya tidak mampu menyediakannya disebabkan kos terlalu tinggi," katanya yang mempunyai empat anak berusia antara lima bulan hingga lapan tahun.

Nur Quraini yang ditemui di Kampung Minching, dekat sini, hari ini, berkata, dia kini dalam proses memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal dan juga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi meringankan beban kewangannya.

Penderitaan keluarga berkenaan mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) yang tampil menghulurkan bantuan awal berupa wang tunai kepada keluarga berkenaan selain menyediakan barangan persekolahan buat dua anak pasangan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 3:27 PM