MAS Imran (kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan Mariam kepada Salbiah.
MAS Imran (kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan Mariam kepada Salbiah.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Demi kasih terhadap adik yang terlantar diserang angin ahmar, seorang kakak sanggup menjaga adiknya biarpun hanya menjual nasi lemak sebagai pendapatan utama di pangsapuri Bandar Baru Permas Jaya, di sini.

Salbiah Mahmood, 67, menggalas tanggungjawab berat menjaga adik, Mariam Mahmood, 66, sejak tiga bulan lalu.

Katanya, nasib Mariam ibarat jatuh ditimpa tangga, apabila kehilangan anak sulung, Hisham Mahadun, 48, akibat penyakit asma, April lalu.

"Sebelum ini adik tinggal dengan anak, menantu dan cucu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara. Selepas kematian anaknya, mereka sekeluarga diuji dengan jangkitan Covid-19.

"Adik dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan mendapatkan rawatan selama dua bulan di sana. Selepas disahkan negatif Covid-19, adik diserang angin ahmar sehingga lumpuh sebelah badan bahagian kanan dan kini hanya terlantar.

"Apabila doktor membenarkan adik pulang ke rumah, menantu dan cucu adik masih dikuarantin. Jadi saya mengambil tanggungjawab menjaga adik.

"Kini adik umpama anak kecil yang tidak boleh bercakap dan bergerak. Malah, segala keperluan adik, saya uruskan termasuk menukar lampin pakai buang, mandi dan memberi susu khas," katanya ketika ditemui di kediamannya di Blok S, Pangsapuri Bandar Baru Permas Jaya, di sini.

Menurut Salbiah, sejak diserang angin ahmar, Mariam hanya bergantung kepada susu khas sebagai makanan ruji.

"Dalam sebulan perlu sediakan lima tin dengan anggaran harga hampir RM500, bagi lampin pakai buang pula Mariam menggunakan 10 pek dalam sebulan.

"Sepatutnya selepas keluar hospital, Mariam perlu menjalani fisioterapi di HSA tetapi disebabkan saya tinggal ditingkat empat dan tiada daya serta kenderaan untuk membawa Mariam, jadi terpaksa tidak hadir untuk jalani fisioterapi berkenaan.

"Kehidupan sekarang banyak bergantung kepada ihsan jiran dan komuniti setempat, kerana suami, Mat Top Aman, 66, juga tidak bekerja kerana menghidap penyakit prostat," katanya yang mempunyai dua anak angkat.

Salbiah berkata, anak angkatnya sudah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab sendiri, manakala seorang lagi anak angkat perempuan baru berusia 18 tahun dan sering membantunya berniaga.

"Selagi ada kudrat, saya akan terus menjaga adik dan suami. Alhamdulillah saya masih dikurniakan kesihatan untuk menjaga mereka.

"Ada masa warga emas seperti saya juga tidak sihat, walaupun tidak sihat saya akan memastikan adik dapat minum susu khas. Mariam dapat bantuan bulanan daripada Baitulmal RM300 sebulan.

"Dari segi kewangan itu, saya akan usahakan untuk mengisi perut kami empat keluarga," katanya.

Sementara itu, nasib keluarga Salbiah mendapat perhatian Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam.

"Untuk keluarga ini bantuan berbentuk barangan keperluan dapur termasuk lampin pakai buang dewasa dan susu khas kami sumbangkan yang kesemuanya bernilai RM1,000.

"Insya-Allah kita terus mendoakan Salbiah diberikan kesihatan untuk menjaga adik dan suaminya," katanya.

Bagi yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Salbiah di talian 0199422872 atau Bank Islam 01014025234948.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:31 AM