Mary Victoria Dass

Johor Bahru: "Setiap hari saya hanya mampu tidur ayam iaitu kira-kira tiga hingga empat jam kerana selain mengurus adik terlantar saya juga perlu menyiapkan sarapan pagi untuk dijual," kata Salbiah Mahmood, 67.

Salbiah berkata, walaupun sudah dimamah usia, dia nekad memberi penjagaan kepada insan kesayangannya itu selain mencari sumber rezeki bagi menyara keluarga termasuk suami menderita masalah prostat.

Menurutnya, rutin hariannya adalah menyiapkan bahan untuk memasak nasi lemak dan kuih-muih seawal jam 4 pagi sebelum memberi jagaan kepada adik serta mengurus keperluan suami.

Berkongsi berkaitan adiknya, Salbiah berkata, Mariam, 66, yang menghidap Covid-19 pada empat bulan lalu turut diserang angin ahmar ketika mendapatkan rawatan di hospital.

"Selain lumpuh separuh badan iaitu di sebelah kanan, Mariam yang berstatus ibu tunggal juga mengalami masalah psikiatri dan tidak boleh berkomunikasi.

"Kami mengambil keputusan bagi menyara Mariam kerana dia hilang tempat bergantung apabila anak lelaki sulungnya meninggal dunia pada April lalu akibat asma manakala anak lelaki kedua pula berusia 40-an turut mengalami masalah tulang belakang," katanya.

Salbiah berkata, kebiasaannya dia akan memberikan Mariam susu disyorkan doktor setiap empat jam sekali menerusi tiub di hidung selain menyiapkan makan minum untuk suami dan anak bongsu perempuan berusia 18 tahun.

SALBIAH memberi jagaan kepada Mariam yang terlantar sambil dibantu suami, Mat Top di Pangsapuri Permas Jaya. FOTO Mary Victoria Dass
SALBIAH memberi jagaan kepada Mariam yang terlantar sambil dibantu suami, Mat Top di Pangsapuri Permas Jaya. FOTO Mary Victoria Dass

Katanya, ketika dia menjual nasi lemak di bawah blok di tempat tinggalnya di Blok S, Pangsapuri Permas Jaya di sini

antara 7 hingga 9 pagi, anak perempuannya akan memberi jagaan kepada Mariam.

"Anak sulung perempuan saya sudah berkeluarga dan memiliki tanggungan sendiri manakala anak bongsu dalam proses mencari pekerjaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

"Manakala suami saya, Mat Top Aman, 65, pula mengalami masalah prostat hingga terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal sejak dua tahun lalu.

"Dia hanya mampu melakukan kerja yang ringan dan buat masa ini membantu saya terutama ketika membungkus nasi lemak dan memberi susu kepada adik," katanya.

Salbiah berkata, mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatan hasil menjual nasi lemak iaitu antara RM50 hingga RM60 sehari selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300 sebulan.

Bercerita lanjut, katanya, Mariam sepatutnya menjalani fisioterapi namun keluarga tidak mampu menanggung kos menyewa ambulans ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Setiap kali Mariam menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital, kami perlu menyediakan RM250 bagi menyewa ambulans namun kerana tidak mampu menyediakan wang, dia gagal menjalani memenuhi janji temu di hospital.

"Kami perlu sediakan RM1,000 sebulan bagi membeli lampin pakai buang dan susu untuk Mariam. Saya tidak pernah berputus asa dan selagi kudrat saya masih kuat, akan melakukan yang terbaik demi ahli keluarga," katanya ketika ditemui hari ini.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Salbiah menerusi akaun Bank Islam 01014025234948 atau hubungi talian 018-7871362.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 7:14 PM