Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Saya tidak berniaga sejak sebulan lalu selepas suami berada dalam keadaan koma dan menerima rawatan di hospital," ujar Jusrina Jusoh, 37, ketika ditemui di rumahnya di Taman Vista Jaya, Lukut di sini.

Katanya, suaminya, Baharudin Zainal, 49, masih tidak sedarkan diri selepas terbabit kemalangan ketika menunggang motosikal untuk menziarahi pusara ibunya bulan lalu.

"Suami beritahu mahu ziarah pusara ibunya di Kampung Paya kerana sudah lama tidak ke kubur berkenaan. Tidak sangka dia terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan.

"Dia cedera parah di kepala, retak tulang pipi dan rusuk patah selain cedera di beberapa bahagian badan. Suami kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS)," kata ibu kepada empat anak berusia dari 10 hingga 19 tahun itu.

Selepas dua minggu, suaminya dipindahkan ke Hospital Port Dickson (HPD) bagi memudahkan dia menjaga suaminya yang masih koma.

"Walaupun sudah dekat, setiap hari saya akan pergi ke HPD bermula jam 2 petang hingga ke 11 malam bagi menukar lampin pakai buang dan membersihkan badannya.

"Doktor mengatakan suami saya boleh dibawa pulang ke rumah sejak tiga hari lalu. Ketika ini suami sudah sedar dan tangannya menunjukkan tanda pergerakan," katanya tadi.

Jusrina berkata, dia bercadang mahu berniaga semula bagi mencari nafkah mereka sekeluarga dengan dibantu anak-anak terutama yang sulung, Ezdihar Najiy, 19, anak kedua, Ashwel Nazhif, 16, dan ketiga, Nurjuma Nasuha, 15.

"Memang dari dulu kami berniaga menjual nasi lemak dan 'ayam goreng kepci'. Kami perlu teruskan kerana suami memerlukan susu khas selain kos sewa rumah dan tiga anak-anak yang masih sekolah.

"Alhamdulillah, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan juga membantu tetapi perbelanjaan lain perlu dicari" katanya.

Tambahnya, dia juga bersyukur kerana jiran-jiran dan saudara mara banyak membantu termasuk bantuan dari pihak Masjid Bandar Springhill dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9).

"Bekalan air ke rumah ini juga sudah dipotong akibat tunggakan RM300. Saya perlu cari ikhtiar dan perlu mula berniaga kerana komitmen keluarga semakin bertambah .

"Ini belum termasuk rawatan susulan di HTJS yang mana saya perlu menggunakan khidmat ambulans berbayar," katanya sambil menyedut kahak suami menggunakan mesin penyedut sumbangan sahabatnya.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban mereka sekeluarga boleh menghubungi Jusrina di talian 018-9879026 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0511641000043222 (Jusrina Jusoh).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 7:22 PM
Jusrina menjaga suaminya, Baharudin Zainal, 49, sambil dibantu anak keduanya, Ashwel Nazhif, 16, ketika ditemui di rumahnya, di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Jusrina menjaga suaminya, Baharudin Zainal, 49, sambil dibantu anak keduanya, Ashwel Nazhif, 16, ketika ditemui di rumahnya, di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA