FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri ketika melalui pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di Desa Jaya, di sini, gagal apabila kenderaan dipandu merempuh tembok penghadang jalan, hari ini.

Dalam kejadian 12.45 tengah malam, anggota polis menahan Proton Wira dipandu lelaki berusia 45 tahun selepas dilihat mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, anggota polis bertugas mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya di bahu jalan bagi pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, apabila dihampiri, suspek memecut kenderaannya lalu anggota polis bertindak mengejarnya sehingga ke kawasan perumahan Perdana Puri berjarak kira-kira 300 meter dari lokasi SJR.

"Kenderan dipandu suspek kemudian berpatah balik dan memecut laju ke arah khemah SJR dan hampir merempuh seorang anggota polis yang sedang bertugas.

"Suspek kemudian memberhentikan kenderaannya dalam keadaan mengejut dan mengundur dalam keadaan laju sehingga melanggar batu pembahagi jalan berhampiran khemah SJR," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, suspek berjaya ditahan dan semakan mendapati dia memiliki 11 rekod jenayah berkaitan kes dadah dan satu rekod kes curi.

Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan lelaki itu direman seminggu bermula hari ini untuk siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek juga disiasat mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 9:46 PM