FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang videonya tular di media sosial selepas enggan memberhentikan kenderaannya apabila ditahan polis baru-baru ini dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menghalang anggota polis menjalankan tugas.

Majistret M Saravanan menjatuhkan hukuman itu ke atas seorang penarik kereta, Mohd Fazreen Azmi, 26, selepas dia mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut mulai hari ini.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang Koperal Mohammad Hasrul Saadon menjalankan tugas di Jalan Persiaran Gurney, Wangsa Maju di sini pada 4.45 petang, 24 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zuraidi Zulkifli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran, bagaimanapun peguam P. Suthes merayu hukuman denda minimum atas alasan tertuduh menanggung isteri serta dua anak berusia tiga dan enam tahun.

Pada 26 Disember lalu, Bernama melaporkan sepasukan anggota polis mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Gurney yang dipandu lelaki berumur 26 tahun (tertuduh) bersama seorang wanita berumur 24 tahun dalam keadaan mencurigakan namun enggan berhenti selepas diarahkan berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata suspek sebaliknya bertindak memecut kenderaan itu ke arah Jalan Tun Razak sebelum berjaya ditahan selepas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di hadapan pusat beli-belah Lot 10 di Bukit Bintang.

Berikutan kejadian itu, tular satu rakaman video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang anggota polis trafik cuba memecahkan cermin sebuah kenderaan pacuan empat roda menggunakan topi keledar selepas pemandu itu cuba melanggar pihak berkuasa yang menahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 5:44 PM