TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Bisnes HM


PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diingatkan supaya berhati-hati dengan pelbagai iklan di media sosial yang memancing mereka untuk menyertai pelbagai skim pelaburan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, baru-baru ini telah diumumkan bahawa permohonan program pengeluaran Akaun 1 KWSP i-Sinar akan dibuka kepada pencarum mulai 21 Disember ini.

"Pada masa sama, terdapat iklan-iklan yang memancing pencarum bagi mengeluarkan wang simpanan mereka untuk dilaburkan di dalam skim-skim berbaur penipuan.

"Saya ingin mengingatkan agar pencarum menggunakan saluran rasmi bagi sebarang urusan KWSP iaitu di cawangan dan kios KWSP, laman web rasmi i-Sinar iaitu isinar.kwsp.gov.my, serta portal atau aplikasi i-Akaun KWSP," katanya dalam Laporan Laksana Ke-33 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, selain itu, isu penipuan dalam talian juga dilihat semakin berleluasa berikutan peningkatan transaksi dalam talian seperti pembayaran dan pembelian barangan di platform e-dagang.

"Ada juga berita menyiarkan mengenai 'scammers' yang telah mendapatkan maklumat peribadi orang awam melalui pakej bungkusan yang dibuang untuk menggertak dan menipu individu bagi mendapatkan wang.

"Orang ramai diingatkan supaya menjaga dan menyimpan maklumat peribadi dengan baik. Jangan sekali-kali mendedahlan maklumat seperti nama, kata laluan, butiran bank akaun dan pelbagai maklumat sensitif kepada platform yang tidak disahkan, atau kepada orang yang tiada pengenalan sah rasmi.

"Jika berasa telah ditipu atau data peribadi telah dikompromi, segera laporkan kepada pihak polis dan bank anda, atau agensi-agensi berkaitan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 7:14 PM