DATUK Nazran Muhammad. FOTO arkib NSTP
DATUK Nazran Muhammad. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K) (Al-Ismaili ll), Ahli Yang Ketiga (Taulan) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (J.M.K) (Al-Ismaili lll) dan Pelantikan Jaksa Pendamai (J.P) yang dianugerahkan kepada Prof Dr Selvaraj Y Subramaniam.

Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Nazran Muhammad pada kenyataan hari ini berkata, penarikan semula gelaran dan kehormatan kebesaran Kelantan itu berkuatkuasa 18 November lalu.

"Individu ini telah dimaklumkan mengenai perkara ini melalui surat yang disampaikan pada tarikh 18 November.

"Adapun penarikan balik ini adalah hak Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Muhammad V yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara Baginda jua.

"Adalah dimaklumkan bahawa kerajaan negeri Kelantan telah mewartakan Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Salah Guna) (Pindaan) 2015 pada 27 Ogos 2015 yang memperuntukkan hukuman, denda tidak kurang daripada RM10,000 atau dipenjarakan tidak kurang daripada tiga tahun," katanya.

Menerusi kenyataan, Nazran memaklumkan, hukuman itu dikenakan bagi bagi mana-mana individu yang menggunakan apa apa darjah, tanda kebesaran, pingat, lambang dan bintang kebesaran dikurniakan yang dibatalkan atau ditarik balik oleh baginda Al-Sultan.

"Enakmen ini juga memberi kuasa kepada polis untuk membuat penyiasatan termasuklah memasuki premis dan menggeledah serta menyita apa-apa keterangan atau barang kes yang disyaki berkait dengan kesalahan di bawah enakmen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 2:47 PM