Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.
Asrol Awang


Kuantan: Penerima darjah kebesaran dan pingat negeri ini yang masih mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran atau pingat berkenaan pada kenderaan mereka diingatkan segera menanggalkannya.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, peringatan itu bagi mengelak penerima terbabit dikenakan tindakan kerana penguatkuasaan sudah bermula kelmarin.

"Penguatkuasaan itu dilakukan serta-merta dan penerima darjah kebesaran dan pingat perlu bertanggungjawab serta menanggalkan lambang pada kenderaan sebelum tindakan diambil," katanya.

Yahaya berkata demikian susulan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melarang mana-mana individu mempamer lambang darjah kebesaran negeri Pahang pada kenderaan.

Kelmarin, penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang diberi peringatan untuk tidak mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran atau pingat negeri pada kenderaan mereka.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dalam kenyataannya memberi peringatan itu dibuat bagi menjunjung titah baginda yang juga Sultan Pahang.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan tindakan mempamer atau melekat lambang darjah kebesaran oleh penerima darjah negeri adalah kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1)(D) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah Pahang 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 3:04 PM