Amir Mamat


Melaka: Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, Sungai Udang, di sini yang beroperasi sejak 56 tahun lalu, dilihat tidak mampu berfungsi untuk tempoh lama.

Ia berikutan, keadaannya agak daif serta sering mengalami kerosakan sistem pendawaian serta kemudahan air menyebabkan bangunan dibina di atas kawasan seluas 16 hektar itu tidak mampu menampung keperluan pesakit.

Sehubungan itu, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mencadangkan satu hospital baharu dibina di kawasan terbabit bagi menggantikan bangunan sedia ada.

Beliau berkata, meskipun pihaknya sudah menerima peruntukan RM40 juta untuk kerja menaik taraf kemudahan di hospital berkenaan, ia bukan penyelesaian terbaik untuk jangka masa panjang.

"Wujud keperluan mendesak untuk pembinaan hospital baharu yang canggih dengan fasiliti lebih moden bagi memberi keselesaan bukan sahaja dalam kalangan pesakit daripada anggota dan veteran tentera sahaja, bahkan orang awam.

"Bayangkan lif digunakan sejak 1964, alat gantinya sudah tiada. Sebab itulah saya katakan pentingnya sebuah hospital baharu.

"Kita akan cuba memohon kepada kerajaan untuk menyalurkan peruntukan bagi pembinaan hospital baharu ini, namun andai tidak dapat (peruntukan), kita akan berusaha dengan cara lain termasuklah daripada Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan sebagainya," katanya selepas mengadakan lawatan sehari ke Kem Terendak, di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri pada sidang media sempena lawatan kerja di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, Melaka. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
ISMAIL Sabri pada sidang media sempena lawatan kerja di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, Melaka. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Pengarah Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan.

Hospital Kem Terendak mampu memuatkan 114 pesakit dalam satu masa dan untuk tempoh setahun pula, hospital berkenaan menerima 63,000 pesakit terdiri daripada anggota dan veteran tentera serta orang awam.

Selain Kem Terendak, terdapat empat lagi HAT di negara ini termasuk HAT Tuanku Mizan, Kuala Lumpur; HAT Pengkalan TLDM Lumut, Perak; HAT Gemas, Negeri Sembilan dan HAT Sepanggar di Sabah.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan khas mengenai pembinaan hospital baharu berkenaan, selain meneliti kos sebenar pembinaan hospital terbabit yang akan diketuai Bahagian Pembangunan dan Bahagian Kesihatan ATM.

Mengulas mengenai peruntukan RM40 juta berkenaan, beliau berkata, ia akan digunakan untuk menyelesaikan isu terdesak seperti menaik taraf fasiliti air, elektrik dan memperbesarkan dewan bedah serta Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurutnya, tender bagi projek berkenaan akan dikeluarkan pada bulan depan manakala kerja membaik pulih dijangka bermula pada Jun tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 7:21 PM