GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa ujian saringan dilakukan terhadap 138 individu disyaki kontak rapat kepada tiga kes positif Covid-19 di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, Melaka.

ATM pada kenyataan berkata, tiga kes yang dikesan di HAT Kem Terendak membabitkan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan pada 24 Ogos lalu.

Ia membabitkan dua pesakit awam dan seorang anggota tentera.

"Pesakit awam berkenaan dikesan positif Covid-19 sewaktu saringan pra pembedahan manakala anggota tentera dikesan selepas mendapatkan rawatan kerana bergejala.

"Ketiga-tiganya dirujuk ke Hospital Melaka bagi tujuan isolasi dan siasatan lanjut," katanya.

Menurut kenyataan, HAT Kem Terendak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengambil tindakan sewajarnya dengan melaksanakan kawalan pantas melalui pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Kawalan Jangkitan Peringkat Hospital bagi siasatan dan pengesanan kontak rapat.

"Ia turut membabitkan siasatan kepada petugas hospital, kerja dekontaminasi di kawasan disyaki tercemar, ujian calitan serta isolasi.

"Sehingga, 138 individu disyaki kontak rapat sudah menjalani ujian calitan dan sedang menunggu keputusan," katanya.

Menurut kenyataan, usaha itu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan semua petugas hospital, pesakit dan kelangsungan perkhidmatan hospital itu sendiri.

"Pada masa sama, pemantauan rapi dan penilaian berterusan turut dilaksanakan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

"Orang ramai dinasihati tidak membuat spekulasi yang boleh mewujudkan kebimbangan kepada masyarakat setempat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 3:39 PM