BERNAMA

Melaka: Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diwujudkan di Hospital Jasin dalam masa terdekat bagi mengurangkan beban Hospital Melaka berikutan penggunaan katilnya mencecah ke paras amat kritikal.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, Hospital Medan itu juga untuk kegunaan pesakit bukan Covid-19 dan membolehkan Hospital Melaka memberi tumpuan sepenuhnya bagi rawatan Covid-19.

Beliau berkata, sehingga Rabu lepas kadar penggunaan katil di Hospital Melaka adalah 90 peratus bagi pesakit biasa dan penggunaan katil Covid-19 adalah 91 peratus.

"Hampir sepenuhnya ruang di Hospital Melaka digunakan untuk merawat termasuk semua zon di Jabatan Kecemasan, bilik mesyuarat, stor selain membina khemah di ruang letak ambulans untuk menempatkan pesakit Covid-19.

"Kerajaan pusat meluluskan permohonan Melaka untuk mewujudkan Hospital Medan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, di sini, hari ini.

GAMBAR fail, Hospital Melaka. FOTO Iqmal Haqim Rosman
GAMBAR fail, Hospital Melaka. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Rahmad berkata, kapasiti Hospital Medan itu juga mampu menempatkan sehingga sekurang-kurangnya 100 pesakit bukan Covid-19.

Katanya, Hospital Medan ATM itu juga antara langkah kesiapsiagaan bagi perawatan dan pemulihan pesakit Covid-19 selain usaha menurunkan penggunaan katil di unit rawatan rapi ke bawah 70 peratus bagi negeri ini mencapai kriteria untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam pada itu, beliau berkata, dua lagi hospital daerah negeri ini iaitu Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin kini terpaksa menampung pesakit Covid-19 bermula minggu ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 5:15 PM