Amir Mamat

Melaka: Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) Kem Terendak, Sungai Udang di sini menerima 2,340 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech untuk 1,170 anggota tentera di kem berkenaan, hari ini.

Ketibaan kenderaan membawa vaksin terbabit tiba di hospital berkenaan jam 12.15 tengah hari dan disambut Pegawai Memerintah 94 HAT, Brig Jen Muhamed Hatta Manis bersama beberapa pegawai Kem Terendak.

Muhammad Hatta berkata, 94 HAT adalah Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan imunisasi itu akan diberikan kepada anggota tentera bertugas di sekitar Kem Terendak membabitkan 3 Divisyen, 10 Briged Para dan Group Gerak Khas pada 2 Mac ini.

Beliau berkata, fasa pertama vaksin itu membabitkan 390 vial (bebuli) dengan setiap daripadanya boleh menghasilkan enam dos.

"Vaksin itu dibawa daripada Hospital Melaka menggunakan perkhidmatan van penghantaran diiringi enam kenderaan Polis Diraja Malaysia dan Polis Tentera.

"Ia akan disimpan di Ultra Low Temperature Freezer (ULTF) bagi mengekalkan suhu di bawah negatif 70 darjah celcius," katanya.

VAKSIN tiba di 94 HAT Kem Terendak Melaka hari ini. FOTO Amir Mamat
VAKSIN tiba di 94 HAT Kem Terendak Melaka hari ini. FOTO Amir Mamat

Pagi tadi, kenderaan membawa 8,190 vaksin jenis Pfizer-BioNTech tiba di Hospital Melaka jam 11.55 pagi.

Baki 2,810 dos vaksin untuk fasa pertama itu akan diterima Jumaat ini.

Melaka akan menerima sebanyak 600,000 vaksin bagi membendung penularan pandemik berkenaan.

Imunisasi itu ditawarkan secara sukarela dengan pengambilan vaksin sepanjang tempoh pandemik adalah percuma.

Pemberian vaksin itu akan diberi secara berfasa iaitu fasa pertama membabitkan seramai 11,000 petugas barisan hadapan yang akan menerimanya pada 2 Mac hingga 30 April ini, diikuti fasa kedua bagi 250,000 pesakit kronik dan warga emas (Mei hingga Ogos) dan fasa ketiga pula membabitkan 400,000 penduduk berusia 18 tahun ke atas (September hingga Februari 2022).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 4:29 PM