MAZA Asma menunjukkan dimsum keluaran Shugarholic. FOTO Ihsan Shugarholic Resources
MAZA Asma menunjukkan dimsum keluaran Shugarholic. FOTO Ihsan Shugarholic Resources
Rosyahaida Abdullah

Bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM3,000 untuk perusahaan kecil sederhana menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) memberi kelegaan kepada usahawan kerana ia turut membantu dari segi pusingan modal.

Pengasas Shugarholic Resources, Maza Asma Mustaffa berkata, pihaknya lega dengan bantuan oleh kerajaan itu termasuk peruntukan buat PKS menerusi Belanjawan 2021.

"Sejujurnya kami lega apabila kerajaan mengumumkan bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM3,000 untuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana) mikro menerusi Geran Khas Prihatin GKP.

"Bantuan ini amat membantu dari segi pusingan modal memandangkan pulangan perniagaan ketika peringkat awal PKP agak merudum menyebabkan aliran tunai untuk pembelian bahan mentah tidak mencukupi," katanya.

Maza Asma berharap segala bantuan yang disediakan dapat dimanfaatkannya untuknya mempertingkatkan lagi perniagaan.

"Perancangan kami adalah untuk membuka cawangan dimsum Shugarholic pertama di sekitar Lembah Klang pada tahun depan disusuli dua lagi menjelang 2025.

"Dengan suntikan untuk PKS menerusi Belanjawan 2021, diharap impian kami dapat direalisasikan malah kami juga berharap dapat menubuhkan pasukan penghantar sendiri pada masa akan datang bagi memberi lebih nilai kepada pembeli selain mewujudkan peluang pekerjaan walaupun skalanya amat kecil," katanya.

Beliau juga optimis untuk meningkatkan pengeluaran dimsum di bawah jenama Shugarholic yang dihasilkannya melebihi sekali ganda berbanding jumlah semasa menjelang akhir tahun depan.

Katanya, meskipun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini, pihaknya sudah mula menggiatkan pelbagai strategi pemasaran bagi menyesuaikan keadaan semasa khususnya menerusi penjualan secara dalam talian.

Susulan inisiatif itu kata beliau, perkembangan positif direkodkan apabila jumlah jualan setiap bulan membabitkan dimsum sejuk beku dan sedia dimakan keluarannya mencatatkan peningkatan.

"Sebelum ini, fokus perniagaan kami lebih tertumpu kepada penjualan secara offline di mana kami menyertai karnival tertentu, menyewa tapak niaga dan sebagainya untuk memasarkan dimsum Shugarholic.

"Namun dalam keadaan sekarang, kami tidak lagi boleh bergantung kepada penjualan secara langsung di premis fizikal semata-mata menyebabkan kami perkukuhkan media sosial khususnya Facebook sebagai platform perniagaan maya secara spesifik untuk pemasaran.

"Kami menyasar berbanding sekitar 20,000 hingga 25,000 biji dimsum yang dihasilkan kilang kami setiap bulan, ia akan meningkat sekali ganda menjelang akhir tahun depan melalui strategi pemasaran dalam talian yang lebih agresif," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Maza Asma berkata, ketika ini perkhidmatan penghantaran turut disediakan pihaknya buat pembeli di kawasan terpilih bagi membolehkan pembeli mendapatkan produk itu terutamanya dimsum sedia dimakan sama ada kukus atau goreng dengan lebih cepat dan segar.

"Selain memasarkan secara dalam talian, kami juga menyediakan khidmat penghantaran yang agak kompetitif jika dibandingkan dengan servis penghantaran lain. Ia khusus untuk penduduk di sekitar lokasi kami iaitu Lembah Klang.

"Bagaimanapun, memandangkan kami juga mempunyai ejen di beberapa negeri seperti Negeri Sembilan dan Johor bagi dimsum sejuk beku, ejen di sana akan mengendalikan penghantaran di kawasan liputan masing-masing.

"Kami juga berharap dapat memperluaskan produk ini ke lebih banyak negeri dan berkongsi keunikan dimsum halal ini bersama lebih ramai pembeli akhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 7:15 AM