FAMA, Nekmat, LKIM dan Shopee bekerjasama secara eksklusif melancarkan kedai rasmi Fama (Agrobazaar_FAMA) dan Nekmat di Shopee.
FAMA, Nekmat, LKIM dan Shopee bekerjasama secara eksklusif melancarkan kedai rasmi Fama (Agrobazaar_FAMA) dan Nekmat di Shopee.

GOLONGAN petani dan nelayan di negara ini terus mendapat sokongan daripada penjualan atas talian melalui kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dengan platform e-dagang terkemuka, Shopee.

Fama, Nekmat, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Shopee bekerjasama secara eksklusif melancarkan kedai rasmi Fama (Agrobazaar_FAMA) dan Nekmat di Shopee bagi membolehkan hasil segar serta makanan laut dari petani dan nelayan dihantar terus kepada rakyat.

Langkah ini susulan kejayaan pelancaran segmen hasil segar di Shopee pada Februari lalu yang menyaksikan platform e-dagang itu menggunakan teknologi untuk penjualan dan pengedaran hasil segar secara atas talian.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Pemasaran Industri Berasaskan Agro Fama, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, di kedai Fama, pengguna dapat membeli pelbagai hasil pertanian seperti ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Kerjasama Fama dan Shopee kaedah yang bagus membantu pengguna mendapatkan barangan mereka secara atas talian pada bila-bila masa dan kami menerima sambutan menggalakkan,” katanya pada sidang media maya Raya Bersama Shopee di sini, semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar Nekmat, Azrin Shah Ismail berkata, pihaknya komited menawarkan makanan laut segar terus kepada pelanggan melalui platform Shopee.

“Sememangnya, pendapatan nelayan agak terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana. Oleh itu, melalui kerjasama ini kami percaya orang ramai boleh mendapatkan pelbagai ikan dan makanan laut segar,” katanya.

Penghantaran kini dibuka untuk penduduk Lembah Klang di mana pembeli yang membuat pesanan mereka dari kedai-kedai ini sebelum pukul 12 tengah hari akan menerima produk mereka pada hari berikutnya (kecuali hujung minggu dan cuti umum).

Kecemerlangan operasi ini penting kerana isi rumah memerlukan barang-barang ini dihantar dengan cepat kepada mereka.

Shopee terus menyokong inisiatif ini dengan Pakej Bantuan Peniaga bernilai RM15 juta dilancarkan baru-baru ini untuk membantu PKS mengatasi cabaran perniagaan akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 6:10 AM