PERUSAHAAN kecil dan sederhana yang mudah terkesan akibat pandemik  Covid-19 mula menerima GKP 3.0 bermula semalam.
PERUSAHAAN kecil dan sederhana yang mudah terkesan akibat pandemik Covid-19 mula menerima GKP 3.0 bermula semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

SEBANYAK RM500 juta bayaran Geran Khas Prihatin 3.0 (GKP 3.0) Pemerkasa Tambahan akan disalurkan kepada sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro secara berperingkat, mulai semalam.

Pembayaran sebanyak RM500 akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan di dalam sistem GKP.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan sudah memberi komitmen untuk menyokong perniagaan secara berterusan, terutama bagi PKS mikro dalam membantu aliran tunai mereka semasa tempoh yang masih mencabar ini.

Katanya , sehubungan itu, salah satu langkah tahun ini adalah GKP3.0 sebanyak RM1.5 bilion atau RM1,500 kepada setiap PKS mikro yang layak.

"Dari jumlah ini, RM1 bilion atau RM1,000 bagi setiap PKS mikro sudah pun dikreditkan ke dalam akaun penerima pada pertengahan Jun 2021.

"Seterusnya, di bawah Pakej Pemulih (Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi) yang diumumkan pada 28 Jun 2021, bayaran tambahan GKP 4.0 akan disalurkan kepada penerima GKP sedia dan penerima baharu pada September 2021 dan November 2021, masing-masing sebanyak RM500.

"Bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, tempoh pendaftaran GKP 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai 2021," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang sudah dan akan disalurkan kepada hampir sejuta PKS mikro di bawah GKP sejak Covid-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.

Beliau berkata, kerajaan berharap bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutama perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi ketika ini.

Tengku Zafrul berkata, selain GKP, banyak lagi inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh PKS mikro sepenuhnya sebagai persediaan untuk perancangan jangka panjang ke arah pemulihan perniagaan masing-masing.

"Ini termasuk dana pinjaman mudah PKS mikro yang keseluruhannya berjumlah RM2.9 bilion melalui Bank Simpanan Nasional, Agrobank, Mara, SME Corp, Yapeim dan Tekun Nasional.

"Peruntukan dana pinjaman mudah bagi PKS dan PKS mikro juga tersedia di bawah Bank Negara Malaysia berjumlah RM8.6 bilion.

"Jumlah ini termasuk dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Pakej Pemerkasa Tambahan dan RM2 bilion lagi menerusi Pakej Pemulih.

"Ini membuktikan kesungguhan dan usaha berterusan kerajaan dalam membantu perniagaan untuk kekal bertahan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Maklumat lanjut mengenai dana serta bantuan kerajaan yang lain boleh didapati di https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/.

Tambahan GKP 4.0, ketersediaan dana pinjaman mudah dan bantuan lain bertujuan untuk menampung keperluan pembiayaan PKS mikro bagi menyokong perkembangan masing-masing selaras dengan pemulihan ekonomi yang digariskan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 6:55 AM