FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Keperluan bantuan tambahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membolehkan lebih banyak pihak mendapat manfaatnya.

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) bernilai RM40 bilion yang diumumkan sudah mula menampakkan hasil, khususnya dalam konteks pelaksanaan vaksinasi dengan skala lebih besar.

Katanya, pelaksanaan vaksinasi secara besar-besaran adalah satu-satunya kunci keluar kepada krisis ekonomi dan kesihatan yang dihadapi.

Menurut Anuar, ia terbukti apabila ekonomi Amerika Syarikat (AS) berkembang kepada 6.4 peratus pada suku tahun pertama 2021 dan kadar vaksinasi penuh di AS ketika ini, sudah melebihi 45 peratus daripada populasi keseluruhannya.

"Di China, ekonomi mereka berkembang 18.3 peratus pada suku pertama 2021 dan kadar vaksinasi di China juga meningkat dengan drastik iaitu lebih satu bilion dos sudah diberikan kepada rakyat mereka.

"Di Malaysia, walaupun sasaran yang diletakkan sebelum ini adalah 150,000 dos sehari menjelang akhir Jun 2021, namun data semasa pada ketika ini menunjukkan ia lebih tinggi daripada sasaran.

"Contoh, pada 21 Jun lalu, kadar vaksinasi adalah 235,623 dengan jumlah keseluruhan dos yang sudah diberikan ketika ini melebihi enam juta dos," katanya.

Menurut Anuar, ada kemungkinan, terdapat negeri yang akan mencapai imuniti kelompok seawal Ogos dan September.

Katanya, ia secara tidak langsung memberikan harapan kepada pemulihan ekonomi negara dengan tempoh lebih awal dan berkemungkinan peralihan fasa dengan lebih segera atau sekurang-kurangnya mencapai tempoh maksimum setiap fasa yang sudah ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Namun, menurut Anuar, kerajaan boleh mempertimbangkan bantuan tambahan kepada mereka yang masih terjejas disebabkan oleh PKP3.0.

"Antaranya adalah dengan melanjutkan Program Subsidi Upah (PSU) agar dapat mengawal kadar pengangguran daripada meningkat," katanya.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk meneruskan PSU sekurang-kurangnya sehingga September 2021 dengan membabitkan semua sektor terjejas semasa PKP3.0.

"Ia termasuk, melonggarkan beberapa syarat seperti bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi pekerja tempatan yang bergaji RM5,000 dan RM4,000 ke bawah boleh ditambah baik.

"Perkara ini dapat membantu untuk mengawal kadar pengangguran dan mengurangkan kesan khususnya kepada kumpulan B40 dan M40," katanya.

Menurut Anuar, PSU berperanan sebagai serampang dua mata iaitu meneruskan survival perniagaan terutamanya PKS agar tidak gulung tikar dan seterusnya membantu rakyat agar terus memperoleh pendapatan melalui peluang pekerjaan yang masih ada walaupun berkemungkinan pendapatan mereka berkurangan.

"Ini juga dengan mengambil kira Kajian Selidik Kesan PKP1.0 pada isi rumah dan perniagaan oleh kementerian Kewangan Malaysia sebelum. Ia menunjukkan, semasa PKP1.0, ia antara lain menggugat mata pencarian 2.8 juta rakyat yang bekerja sendiri atau mengambil upah harian," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah dan akan berbelanja lebih RM4.8 bilion untuk Geran Khas Prihatin (GKP) membabitkan GKP1.0, GKP2.0, GKP Permai dan GKP3.0.

"Jumlah penerima keseluruhan lebih daripada 1.2 juta penerima daripada pelbagai PKS. Namun, sekiranya kerajaan berhasrat untuk melaksanakan GKP4.0, maka dicadangkan agar memberi GKP khusus untuk membantu PKS beralih kepada kepada perniagaan berasaskan kepada ekonomi digital khususnya perniagaan secara atas talian.

"Inisiatif khas ini secara tidak langsung dapat membantu PKS, khususnya PKS Bumiputera, beralih kepada perniagaan secara atas talian yang lebih menguntungkan ketika ini," katanya.

Menurut Anuar, geran khas ini akan dapat membantu usahawan, termasuk PKS Bumiputera, dalam membuat persiapan peralihan kepada perniagaan berasaskan atas talian.

"Agensi kerajaan yang berkaitan juga boleh berunding dengan syarikat e-dagang di Malaysia seperti Lazada dan Shopee untuk memberikan latihan, seterusnya menyediakan ruang perniagaan atas talian di platform masing-masing kepada PKS," katanya.

Anuar berkata, selain itu, bank juga perlu mempermudahkan urusan kelulusan moratorium untuk membantu PKS yang terjejas dan ia juga memerlukan proses pemantauan secara berterusan oleh kerajaan agar inisiatif ini benar-benar sampai kepada PKS yang amat memerlukan waktu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 1:38 PM