Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO FB TENGKU ZAFRUL
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO FB TENGKU ZAFRUL
Oleh Sharifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Jumlah keseluruhan Geran Khas Prihatin (GKP) termasuk di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang akan disalurkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro adalah berjumlah RM3.35 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di hampir seluruh negara kecuali Sarawak, GKP Permai menerima suntikan tambahan RM150 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM800 juta.

"Bagi PKS mikro yang sudah menerima GKP sebelum ini, mereka tidak perlu mendaftar semula dan bantuan RM1,000 akan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka.

"Untuk makluman semua, kerajaan menyalurkan RM2.55 bilion kepada PKS mikro melalui program GKP dan GKP 2.0.

"Dengan GKP Permai, jumlah keseluruhan yang sudah atau akan disalurkan kepada rakyat berjumlah RM3.35 bilion, hanya untuk langkah GKP saja," katanya dalam laporan Laksana ke-38 Pelaksanaan Inisiatif Belanjawan 2021, Permai, Kita Prihatin, Penjana dan Prihatin di Facebooknya, semalam.

GKP Permai atau GKP Tambahan adalah bantuan kewangan tambahan secara sekali saja atau one-off disediakan kerajaan kepada PKS mikro yang menerima bantuan GKP 1.0 dan GKP 2.0 sebelum ini.

Seperti yang diumumkan dalam Permai, kerajaan akan memperluas bantuan GKP Tambahan kepada 800,000 peniaga PKS dengan bayaran RM1,000.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan GKP Permai awal bulan ini berkata, ia membabitkan peruntukan tambahan RM650 juta.

Sementara itu, mengulas mengenai keluhan bahawa Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 yang ditambah baik melalui Permai tidak mencukupi, Tengku Zafrul berkata, kemudahan itu perlu dilihat bersama bantuan lain dan tidak patut dilihat secara bersendirian.

"Peruntukan terkini bagi PSU pada 2021 ialah RM3 bilion. Dengan perluasan skop untuk semua syarikat terjejas PKP, PSU 3.0 akan menerima penambahan peruntukan RM500 juta lagi, menjadikan jumlahnya RM1.5 bilion di bawah Permai.

"Ini adalah penambahan kepada RM1.5 bilion yang diumumkan pada Belanjawan 2021. Ini juga bermakna bahawa program PSU yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi 2020 dan 2021 secara keseluruhannya bernilai RM20.7 bilion," katanya.

Katanya, selain RM3 bilion di bawah PSU 2021, kerajaan juga memperuntukkan RM3.7 bilion lagi di bawah program penjanaan pekerjaan di bawah Belanjawan 2021 yang baru dimulakan.

Ini turut merangkumi program insentif pengambilan pekerja bagi majikan dan perniagaan.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa kadar sewa premis perniagaan MARA diturunkan 30 peratus.

"Manakala, insentif cukai bagi mereka yang memberikan kemudahan sama dilanjutkan kepada semua penyewa perniagaan, berbanding hanya penyewa PKS sebelum ini.

"Banyak lagi bantuan yang boleh dimanfaatkan majikan dan perniagaan. Maklumat lanjut boleh didapati dari portal Belanjawan 2021 di http://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/ yang menyenaraikan semua manfaat Belanjawan 2021," katanya.

Hargai kerjasama KPM, Yayasan Hasanah

Kementerian Kewangan menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bekerjasama rapat dengan Yayasan Hasanah untuk mempercepat penyampaian 150,000 komputer riba oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bermula bulan depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha itu adalah untuk memastikan anak-anak daripada keluarga B40 dapat meneruskan pelajaran secara dalam talian walaupun dari rumah.

"Ini adalah antara cara kita memanfaatkan ekosistem kerajaan bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Ini juga bukan kali pertama Yayasan Hasanah berganding bahu dengan KPM bagi menyumbang kepada perkembangan sektor pendidikan terutamanya bagi pelajar di luar bandar.

"Untuk pengetahuan umum, dari 2015 hingga 2019, Yayasan Hasanah sudah membelanjakan sebanyak RM363 juta untuk tujuan ini," katanya dalam laporan Laksana ke-38 Pelaksanaan Inisiatif Belanjawan 2021, Permai, Kita Prihatin, Penjana dan Prihatin di Facebooknya, semalam.

Katanya, pelaksanaan yang berhasil adalah lebih penting daripada angka peruntukan yang dinyatakan.

"Paling penting adalah agensi dan kementerian akan terus memudah cara proses penyaluran bantuan supaya semua pihak memerlukan akan disokong untuk bertahan atau bangun semula.

"Ini sebab utama Laporan Laksana ini dihebahkan setiap minggu, selain dari aspek ketelusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 7:20 AM