GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Shah Alam: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan bahawa kegagalan pesawah yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) penanaman padi menjadi punca utama kepada pengurangan hasil pendapatan di kawasan Barat Laut.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, dapatan berkenaan adalah hasil kajian dilakukan pihaknya yang mendapati tiada isu berkaitan tanah tidak subur di kawasan terbabit.

Selain itu, pemilihan benih padi yang tidak sama ditanam di dalam satu blok tanaman menyebabkan tempoh matang dan masa tuai padi menjadi berbeza.

"Dulu saya beranggapan bahawa tanah yang tidak subur. Apabila dibuat pemprofilan di semua kawasan Barat Laut, tidak ada isu dari segi keasidan kecuali di kawasan Sabak Bernam yang mempunyai masalah bekalan air yang kronik.

"Tetapi, yang paling besar dan utama yang saya dapati adalah kegagalan petani kita dalam mematuhi SOP penanaman padi itu sendiri. Perkara ini kita telah buat kajian," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Sallehen Mukhyi (PN-Sabak) mengenai kesukaran petani untuk berkomunikasi dengan Pegawai Pertanian bagi menyuarakan permasalahan berhubung kekurangan hasil padi.

Selain itu, Izham berkata, penggunaan jentera penuaian sedia ada juga telah menyebabkan kehilangan kira-kira 20 peratus hasil padi semasa proses penuaian.

"Jadi, kita merancang untuk beli jentera tuaian baharu yang dapat mengurangkan hingga 10 peratus kehilangan hasil padi, selain batas sawah tidak rosak," katanya.

Dalam pada itu, Izham berkata, hasil padi Selangor menunjukkan peningkatan sebanyak 16,853 tan metrik iaitu 88,551 tan metrik dihasilkan pada tahun lalu berbanding 71,688 tan metrik pada 2022.

"Pasaran domestik bagi beras tempatan untuk tahun lalu ialah 48,703 tan metrik atau 55 peratus pengeluaran padi Selangor dan selebihnya 38,488 tan metrik dijadikan benih bagi menyumbang kepada keperluan benih padi negara," katanya.

Menjawab soalan tambahan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) mengenai inisiatif bagi membuka kawasan padi baharu, Izham berkata, kerajaan negeri hanya akan meningkatkan hasil di kawasan sedia ada.

"Penanaman padi kita sebenarnya lebih 19,000 hektar di kawasan Barat Laut Selangor dan (ada tanah) telah disalah guna untuk penanaman sayur dan sebagainya. Sekarang, kita hanya ada 17,740 hektar.

"Kita juga sudah buat kajian dan telah putuskan harga dengan memerlukan RM1 bilion bagi menaik taraf sistem saliran dan membina kolam takungan atau tadahan bagi sawah. Kita akan bentangkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 2:24 PM