Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. FOTO ARKIB NSTP
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. FOTO ARKIB NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri Selangor bersetuju memberikan pengecualian duti hiburan bagi bayaran masuk pertunjukan pentas (bertiket) untuk artis tempatan berkuatkuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2022.

Pengecualian itu bagaimanapun tidak terpakai untuk artis antarabangsa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat selepas menerima pandangan dan maklum balas orang ramai terutamanya golongan seni berkenaan pelaksanaan duti hiburan yang menjadi perhatian baru-baru ini.

"Kerajaan negeri bersetuju untuk memberi pengecualian selama setahun bagi kadar duti hiburan untuk bayaran masuk pertunjukan pentas (bertiket) bagi artis tempatan berkuatkuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2022 bagaimanapun ia tidak terpakai untuk artis antarabangsa.

"Kerajaan negeri juga ingin memaklumkan bahawa buat masa ini tiada sebarang caj duti hiburan dikenakan untuk aktiviti 'busking'.

"Kadar duti hiburan untuk live band (tidak bertiket) juga turut diberi pengecualian selama setahun bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Amirudin memaklumkan perkembangan pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

"Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sudah diarahkan untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan kadar segera.

"Keluasan ini membabitkan kawasan Kampung Orang Asli Busut Baru seluas ±42.05 hektar (±103.9081 ekar) dan jajaran laluan Paip Air Mentah Loji Rawatan Air Sungai Rasau seluas ±8.58 hektar (±21.2139 ekar), menjadikan keseluruhan kawasan yang akan diwarta semula seluas lebih kurang 486.07 hektar (±1,201.20 ekar)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 2:24 PM