PEMILIK kandang lembu dan kambing berbincang penguatkuasa sebelum operasi meroboh dijalankan. FOTO Bernama.
PEMILIK kandang lembu dan kambing berbincang penguatkuasa sebelum operasi meroboh dijalankan. FOTO Bernama.
SEEKOR lembu berkeliaran ketika operasi merobohkan kandang ternakan di tanah rizab masjid dan sungai) di Bandar Botanic, Klang hari ini. FOTO Bernama.
SEEKOR lembu berkeliaran ketika operasi merobohkan kandang ternakan di tanah rizab masjid dan sungai) di Bandar Botanic, Klang hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

KERJA-KERJA meroboh kandang lembu dan kambing serta binaan kuil di Jalan Rembia 2, Bandar Botanic di Klang, dibuat berikutan pemiliknya didapati menceroboh tanah yang dikategori rizab masjid dan rizab sungai.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Klang, Mohd Shahrizal Mohd Salleh menjelaskan, tindakan itu diambil selepas tiga notis pencerobohan yang dikeluarkan sebelum ini mengikut Seksyen 425 dan 426A (1)(c)Kanun Tanah Negara 1965 tidak diendahkan pemilik struktur binaan berkenaan.

“Tanah seluas kira-kira satu ekar (0.4 hektar) ini diceroboh untuk dibina kandang lembu dan kambing, kabin simpanan barang serta kuil.

“Notis pencerobohan telah dihantar kepada pemilik struktur pada 13 November 2006, 7 Oktober 2017 dan 9 Januari lalu supaya mereka mengosongkan tapak berkenaan, namun tidak diendahkan.

“Aktiviti pencerobohan itu didapati menghalang kelancaran pembinaan projek tebatan banjir di Sungai Aur Fasa 5 oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Masjid Jamek Cina Muslim oleh Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, pencerobohan dan pendudukan tidak sah di atas tanah kerajaan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dan jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun Mohd Shahrizal berkata, pemilik binaan kuil itu diberi tempoh penangguhan selama seminggu bermula semalam, untuk memindahkan sendiri struktur berkenaan sebelum ia dirobohkan agensi penguatkuasaan jika masih gagal mengambil sebarang tindakan.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri sebelum ini pernah menawarkan dua tapak kandang baharu kepada pemilik kandang berkenaan di bawah Projek Translokasi Penternakan Lembu di Kuala Langat serta sebidang tanah juga di Kuala Langat sebagai lokasi baharu kuil itu.

“Tawaran dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini hasil beberapa siri perbincangan yang dilakukan dengan pihak terbabit namun, mereka menolak tawaran tersebut,” katanya.

Operasi merobohkan kandang ternakan itu dilakukan semalam, oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK), JPS Klang, Jabatan Veterinar Klang, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor Berhad.

Ia turut dikawal Polis Diraja Malaysia serta kira-kira 50 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Tinjauan mendapati sekumpulan lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan pemilik kandang berkenaan membuat kecoh ketika cuba menghalang pegawai penguat kuasa menjalankan kerja-kerja meroboh.

Namun tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku, dan keadaan terkawal sehingga operasi selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 6:35 PM