Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak merekodkan 7,872 hektar yang meliputi 0.38 peratus keluasan tanah di Perak diceroboh dengan aktiviti seperti pembinaan kediaman, pertanian, penternakan dan perusahaan sehingga Disember 2022.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, aktiviti pertanian mencatatkan pencerobohan tertinggi sebanyak iaitu 7,307.59 hektar tanah (92.82 peratus) disusuli 400.09 hektar digunakan secara tidak sah untuk aktiviti penternakan dan perusahaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan itu berkata, manakala baki 165.03 hektar daripada keseluruhan tanah yang diceroboh digunakan untuk pembangunan kediaman iaitu penempatan setinggan.

Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC negeri berkata, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif tambahan dalam menyelesaikan isu penerokaan haram atas tanah kerajaan termasuk pemutihan tanah kerajaan melalui agensi.

"Tujuan inisiatif ini adalah untuk memberi milik mana-mana tanah kerajaan negeri yang diteroka dengan aktiviti pertanian dan penternakan kepada pihak agensi dan perbadanan negeri untuk dipajak sewa kepada peneroka terbabit bagi membolehkan aktiviti mereka diteruskan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol, Razman Zakaria (PN) mengenai langkah kerajaan yang sudah dan akan diambil untuk mengatasi masalah pencerobohan yang dimaksudkan.

Mengenai peratusan keluasan tanah yang berjaya dikembalikan, Saarani berkata, analisis data menunjukkan sejak 2018 hingga 2021, sebanyak 5,959.74 hektar tanah kerajaan yang diteroka secara haram diberi milik kepada pelbagai agensi dan perbadanan milik kerajaan.

Katanya, daripada jumlah itu, 3,930.79 hektar disewa atau dipajak kepada peneroka terbabit, 700.92 hektar dilaksanakan tindakan penguatkuasaan dan baki 1,328.03 hektar lagi adalah dalam perancangan untuk pembangunan, penyewaan atau pajakan kepada peneroka haram.

Saarani berkata, bagi menyelesaikan isu penerokaan tanah secara haram, pihak berkuasa negeri menubuhkan Jawatankuasa Usaha Haram dan Setinggan Negeri Perak yang bersidang setiap suku tahun bagi memantau dan mengenal pasti aktiviti haram dan setinggan di atas tanah milik Kerajaan negeri.

Katanya, di samping itu terdapat juga dasar penyelesaian pendudukan setinggan kediaman di tanah kerajaan yang diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Bil. 2048 bertarikh 10 November 2021 melalui beberapa kaedah pelupusan tanah.

Saarani berkata, antaranya seperti pemberi milikan tanah kerajaan, pajakan tanah rizab dan pemberian Lesen Pendudukan Sementara serta pelaksanaan penguatkuasaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

"Dasar ini memperuntukkan tempoh pelaksanaan penyelesaian penempatan setinggan dalam tempoh lima tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 11:40 AM