SIDANG Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
SIDANG Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebanyak 6,299 kes perceraian direkodkan di sembilan daerah di Selangor tahun lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata, daerah Petaling merekodkan kadar perceraian tertinggi iaitu 1,668 diikuti Hulu Langat (1,303); Gombak (960); Klang (878); Kuala Langat (407); Sepang (352); Kuala Selangor (314); Hulu Selangor (297) dan Sabak Bernam (120).

"Beberapa faktor yang dikenal pasti menjadi punca kadar perceraian tinggi yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah antaranya kepadatan penduduk dan cabaran persekitaran yang dihadapi di Lembah Klang.

"Selain itu, kadar migrasi; ekonomi suami yang tidak stabil hingga menghadapi tuntutan pihak isteri mengenai kegagalan pemberian nafkah; sosialisasi terbuka merentasi kebiasaan; kegagalan menjadikan agama sebagai cara hidup dalam menguruskan rumah tangga dan lain-lain," katanya.

Mohd Zawawi berkata sedemikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (PH-Meru) mengenai punca perceraian di Selangor bagi 2021 yang tinggi dan adakah modul kursus perkahwinan tidak berkesan.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, kadar perceraian rendah atau tinggi tidak sepatutnya dikaitkan secara langsung dengan kursus modul perkahwinan kerana ia kursus awal, dan perlu disusuli dengan pemantapan termasuk sentiasa bertolak ansur, mengambil tindakan tepat dalam mengatasi masalah.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan mengenai kesan perceraian terutama kepada pasangan yang mempunyai anak serta apakah usaha Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk membela golongan itu, Mohd Zawawi memaklumkan, terdapat aktiviti yang dikendalikan JAIS menerusi masjid.

"JAIS menerusi masjid melaksanakan aktiviti mediasi atau sesi kaunseling kepada individu terbabit perceraian supaya kebajikan anak-anak sentiasa diberikan perhatian terutamanya dari segi nafkah, pendidikan dan psikologi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 12:37 PM