EXCO Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Ir Izham Hashim berucap ketika Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Ketiga Dun Selangor ke 14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
EXCO Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Ir Izham Hashim berucap ketika Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Ketiga Dun Selangor ke 14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tiada keperluan mendesak untuk menggunakan air Tasik Putrajaya bagi menampung bekalan jika berlaku pencemaran sungai di Selangor, buat masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, kerajaan negeri tidak menganggapnya satu keperluan buat masa ini, meskipun tasik itu mampu membekalkan air kepada Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih selama 17 hari.

"Cadangan penggunaan air daripada Tasik Putrajaya apabila berlaku sebarang kecemasan atau pencemaran adalah di luar bidang kuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

"Bagaimanapun, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang menguruskan bekalan air terawat untuk Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sudah membuat permohonan kepada kementerian untuk menggunakan air tasik.

"Permohonan itu termasuk geran pelaksanaan projek pembetungan dan pengepaman daripada Tasik Putrajaya ke LRA Semenyih," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) yang ingin tahu sama ada Tasik Putrajaya boleh menjadi sumber air kecemasan apabila berlaku pencemaran di 'intake' Sungai Semenyih.

Menurutnya, sehingga kini difahamkan Air Selangor belum menerima maklum balas mengenai permohonan berkenaan.

Dalam pada itu, Izham berkata, kerajaan negeri bersama LUAS juga sedang meneliti kemungkinan terdapat kolam-kolam di sekitar Sungai Semenyih yang boleh dimanfaatkan ketika berhadapan situasi kecemasan atau pencemaran sumber air.

"Kajian lanjut mendapati LRA Semenyih dapat beroperasi secara maksimum jika berlaku pencemaran di Sungai Semenyih dengan menggunakan Kolam A, B dan C berhampiran loji, bagaimanapun sedikit pengubahsuaian perlu dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 1:48 PM