Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kolam takungan banjir di Sungai Gong, Rawang, akan dijadikan kolam rawatan awal air sebagai salah satu cara untuk mengekang pencemaran sumber air di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim, berkata, kolam takungan banjir yang berkeluasan enam hektar itu akan dibesarkan kepada 14 hektar selepas penelitian dibuat terhadap tanah milik kerajaan berdekatan kolam berkenaan.

"Kolam berkenaan dalam proses untuk ditukar kepada kolam rawatan awal yang mana air kumbahan ataupun hujan akan memasuki kolam berkenaan seterusnya dirawat sebelum dilepaskan ke Sungai Kundang serta Sungai Sembah.

"Air yang sudah dirawat di peringkat awal itu akan memasuki muka sauk seterusnya ke Loji Rawatan Air (LRA) untuk diproses semula.

IZHAM (tengah) pada sidang media EXCO mengenai penyelesaian gangguan bekalan air di LRA akibat pencemaran sumber mentah di Bilik Gerakan Pejabat Dewan, Bangunan Annex, SUK Selangor. FOTO Muhd Asyraf Sawal
IZHAM (tengah) pada sidang media EXCO mengenai penyelesaian gangguan bekalan air di LRA akibat pencemaran sumber mentah di Bilik Gerakan Pejabat Dewan, Bangunan Annex, SUK Selangor. FOTO Muhd Asyraf Sawal

"Kolam berkenaan itu juga sekaligus mengurangkan kos rawatan air di LRA. Kita jangkakan projek ini akan bermula pada awal tahun hadapan dan siap pada akhir tahun," katanya selepas Sesi Taklimat Perancangan Penyelesaian Masalah Bekalan Air di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih Akibat Pencemaran di Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah 15,331 kilang dan industri berpotensi menjadi punca pencemaran di dua lembangan sungai utama di Selangor iaitu Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Katanya, sebanyak 6,462 kilang terletak di lembangan Sungai Selangor manakala 8,676 di lembangan Sungai Langat.

"Daripada jumlah berkenaan, hanya 223 kilang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor selepas memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Banyak kilang di lokasi berkenaan berusaha membuat pendaftaran dengan JAS dan mereka bukan tidak layak sebaliknya tidak memenuhi kriteria untuk mendaftar dengan JAS.

"Antara kriteria yang membolehkan mereka berdaftar dengan JAS adalah pelepasan enfluen melebihi 60 Cubic Meter (60,000 liter) yang mana pelepasan yang dilakukan akan dipantau oleh JAS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 7:58 PM