FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


BEBERAPA langkah segera diambil susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi akibat pencemaran bau Sungai Semenyih sejak Sabtu lalu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu termasuk mencairkan pencemaran (dilution process) dengan menyedut air dari Kolam Tasik Idaman menggunakan pam air.

Selain itu katanya, air Empangan Semenyih juga sudah dilepaskan ke Sungai Semenyih bertujuan untuk mencairkan pencemaran.

“Pagi tadi (hari ini) mesyuarat tergempar dibuat untuk berbincang dan mendengar taklimat Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) susulan kadar pencemaran yang masih belum capai paras 0 ton.

“Jadi kita laksanakan langkah ini untuk menyelesaikan segera masalah dan ia dikendali LUAS dan pengurusan Air Selangor (Air Selangor Sdn Bhd),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, langkah seterusnya adalah Air Selangor akan menggerakkan 70 lori tangki air, 16 lori tangki jumbo, 31 tangki statik dan 10 pili air awam ke lokasi yang terjejas.

Katanya, keutamaan bekalan itu adalah di hospital dan lori tangki jumbo sudah digerakkan ke Hospital Kajang serta Hospital Serdang.

“Kita juga akan menggunakan Kolam Terminal Bangi dari LRA Langat 2 yang mana ia akan memenuhkan kolam terminal itu untuk kegunaan 55,564 pengguna terutama di Hulu Langat,” katanya.

Beliau juga akan turun padang meninjau Kolam Tasik Idaman yang mana proses pencairan pencemaran melalui pam akan dilaksanakan petang ini.

Sabtu lalu, insiden pencemaran bau itu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas bagi mengelak air tercemar disalur kepada pengguna.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 1.5 juta pengguna di sebahagian kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.

Berita berkaitan

Masih belum dapat 'lepaskan' air

Kesal pencemaran air tak berkesudahan

Alamak air terputus lagi!

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 3:14 PM