SKUAD Pantas Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan pencemaran bau seakan diesel di kawasan Sungai Gong. FOTO ihsan Luas
SKUAD Pantas Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan pencemaran bau seakan diesel di kawasan Sungai Gong. FOTO ihsan Luas
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan pencemaran bau seakan diesel di kawasan Sungai Gong malam tadi, bagaimanapun ia terkawal serta tidak menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) berdekatan henti tugas.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian dalam kenyataan berkata, hasil siasatan yang dilakukan Luas bersama Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mendapati terdapat sisa minyak diesel dalam saliran longkang sebuah stesen minyak di Taman Permai Jaya, Rawang.

Katanya, terdahulu persampelan dilakukan di lokasi yang dikesan menunjukkan bacaan dua ton dan jarak lokasi pencemaran bau ke muka sauk LRA berdekatan iaitu LRA Rantau Panjang adalah 20 kilometer (km).

"Siasatan yang dilakukan di sekitar kawasan yang mempunyai aliran masuk ke dalam sungai mendapati beberapa lokasi aliran dengan bacaan bau sekitar satu ton.

"Luas juga mendapati terdapat bau seakan diesel di kawasan hulu Sungai Gong yang berkemungkinan dari kawasan premis industri walau bagaimanapun, siasatan bersama Air Selangor juga mendapati terdapat sisa minyak diesel ke dalam saliran longkang sebuah stesen minyak di kawasan Taman Bayu Permai.

"Persampelan di lokasi berkenaan dilakukan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Luas mengambil tindakan pencegahan awal dengan meletakkan satu unit 'oil boom' di Kolam Takungan Sungai Gong, serta empat beg karbon teraktif, empat unit 'oil boom' ,dan lima unit 'oil pad' di saliran longkang stesen minyak berkenaan untuk memerangkap minyak dan nyah bau.

Katanya, Luas juga sudah siap siaga melakukan pengepaman air daripada kolam-kolam alternatif di Bestari Jaya ke sungai bagi tujuan 'flushing' untuk meningkatkan kadar pencairan di dalam sungai dan seterusnya nyah bau.

"Penggunaan teknologi Bio remediation bagi tujuan pemuliharaan juga digunakan di kawasan-kawasan yang terjejas.

"Luas juga mengeluarkan arahan kepada premis terbabit berdasarkan Seksyen 121(1) Enakmen Luas 1999 untuk mengalihkan apa-apa bahan pencemar yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai serta melaksanakan pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang," katanya.

Beliau berkata, Luas juga memantau rapi kawasan berkenaan melalui persampelan bau di Stesen Statik di Jambatan Glomac untuk mengesan perubahan bau di dalam Sungai Gong dan berdasarkan rekod, sehingga kini tiada henti tugas LRA dilaporkan oleh pihak Air Selangor.

Katanya, kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen Luas 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 7:58 PM