GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah bermula 6 petang hari ini, berikutan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor seperti diumumkan Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, susulan pencemaran itu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

"Sehingga 2.30 petang hari ini, pencemaran di muka sauk LRA Rantau Panjang pada tahap 8 ton dan LRA SSP1, 2 dan 3 pula pada tahap 4 ton.

"Henti tugas keempat-empat loji ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang mana bekalan air akan ditutup bermula 6 petang.

"Usaha untuk mencairkan bahan pelarut dan pencemaran sudah dilakukan dengan melepaskan air dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 300 juta liter sehari dan Empangan Sungai Tinggi sebanyak 500 juta liter sehari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Luas sudah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 192 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

Katanya, maklumat gangguan bekalan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 3:56 PM