TUN Mohd Ali Mohd Rustam menganugerahkan DGSM kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
TUN Mohd Ali Mohd Rustam menganugerahkan DGSM kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Ayer Keroh: Keperluan tenaga kerja dalam semua sektor perlu mengutamakan rakyat tempatan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 berbanding pemberian pas sementara kepada pekerja asing.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan mengemukakan saranan itu untuk diperincikan pada mesyuarat Kabinet tidak lama lagi.

Beliau berkata, tidak dinafikan isu keperluan pekerja dalam sektor perladangan ruminan seperti kelapa sawit dan getah sedikit meruncing berikutan sempadan negara yang masih ditutup.

"Bagaimanapun, sekiranya tiada pekerja tempatan yang sanggup bekerja di sektor perladangan, kerajaan sedia mempertimbangkan tawaran kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) sedia ada dalam negara dan bukannya baru dibawa masuk dari luar.

"Saya percaya Kementerian Sumber Manusia bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi akan melihat perkara ini, tetapi yang pasti, seperti diputuskan dalam Mesyuarat Khas MKN sebelum ini, keutamaan akan diberi kepada pekerja warga tempatan.

"Bagaimanapun, kalau tiada (pekerja tempatan), barulah buka tawaran kepada pekerja warga asing yang sudah berada di negara ini," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang Dan Pingat Kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam ke-71 di Balai Istiadat Seri Negeri di sini, hari ini.

Pada istiadat itu, Ismail Sabri menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 5:39 PM