NURAINA Erieka menerima Anugerah Hang Tuah pada Majlis Penyampaian Anugerah Hang Tuah Sempena Perasmian Hari Kanak-Kanak 2020 di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor. FOTO Mohd Rafi Mamat
NURAINA Erieka menerima Anugerah Hang Tuah pada Majlis Penyampaian Anugerah Hang Tuah Sempena Perasmian Hari Kanak-Kanak 2020 di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Keberanian kanak-kanak lembam, Nuraina Erieka Abdullah, 13, menyelamatkan adiknya yang terperangkap dalam kebakaran rumah mereka bulan lalu melayakkan dia menerima Anugerah Hang Tuah.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu menerima trofi, sijil dan wang tunai RM5,000 daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada Majlis Penyampaian Anugerah Hang Tuah Sempena Perasmian Hari Kanak-Kanak 2020 di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor, di sini hari ini.

Anugerah Pingat Hang Tuah diperkenalkan pada 1960 dan diberikan kepada tokoh kanak-kanak negara berdasarkan keberanian luar biasa mereka.

Dalam kejadian 9.30 malam, 23 September lalu, Nuraina Erieka berjaya membawa keluar adiknya berusia setahun tiga bulan yang terperangkap dalam bilik selepas rumah mereka di tingkat tiga flat Taman Anggerik Desa, Jalan Beserah terbakar.

Menyedari adiknya sedang tidur dalam bilik, Nuraina Erieka yang turun ke tingkat bawah bagi menyelamatkan diri segera kembali semula ke rumah selepas mendapatinya adik bongsunya tiada. Ketika kejadian ibu dan bapanya tiada di rumah.

Tanggungjawab sebagai kakak sulung serta patuh pada pesanan ibu dan bapanya supaya menjaga adiknya mendorong pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu itu bertindak berani meredah asap tebal dan bahang api bagi menyelamatkan adiknya.

Walaupun dikategorikan insan istimewa lembam namun keberanian amat membanggakan kedua ibu bapanya, Nur Zalina Mohd Fauzi, 38 dan Wan Ahmad Faiz Wan Shamsudin, 38.

Wan Ahmad Faiz berkata, dia tidak menyangka anak sulungnya itu bergadai nyawa bagi menyelamatkan adiknya ketika kebakaran berlaku yang berpunca daripada kebocoran paip gas dapur.

Katanya, kebakaran menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa menumpang di inap desa seorang individu yang prihatin.

"Saya tidak menyangka pengorbanan Nuraina Erieka menyelamatkan adiknya melayakkan dia menerima Anugerah Hang Tuah, dia turut meraih Anugerah Srikandi Khas Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) kelmarin.

"Saya tidak pernah menyangka anak saya yang dilahirkan istimewa kini menjadi kebanggaan keluarga, kami sekeluarga terharu dengan pencapaian yang diraih," katanya yang berkerja sebagai peniaga jagung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 11:55 AM